Saturday, 26 October 2013

Takdir adalah pilihan akal

Salam kesyukuran buat semua.......

Alhamdulillah hari ini kita masih diberi kesihatan dan kekuatan untuk meneruskan hidup bersama orang-orang yang kita sayangi. Lumrah kehidupan adalah umpama roda, kadangkala kita diatas, adakalanya kita dibawah. Apabila berada dalam situasi kebahagiaan, bersedialah untuk menghadapi situasi kesuraman. Begitulah roda kehidupan yang dilalui oleh manusia selagi nyawa masih ada.

Al-kisah rakan seperjuangan, melalui penceritaan kisah hidupnya kepada saya, dimana beliau banyak melalui pelbagai situasi kesukaran, penderitaan, kekecewaan dalam hidup. Suatu ketika dulu dan sehinga kini, beliau masih mengharungi kepayahan membesarkan anak-anak tanpa sokongan suami, keluarga apatah lagi rakan taulan sahabat rapat. Penderitaan ditanggung sendiri, kepayahan ditangisi, kesukaran diharungi...sendiri...


Allahu Akbar...saya melihat mereka yang mengharungi dugaan kehidupan yang begini, mempunyai kekuatan diri yang sangat luar biasa. Inilah yang dikatakan anugerah dari Allah Yang Maha Esa. Aturan hidup yang diciptakan kepada hambanya melalui kebijaksanaan akal manusia untuk memilih.......Ya! fitrah manusia mempunyai kelemahan dalam memilih jalan kehidupan yang sebenar, kerana kita tidak nampak akibat yang berlaku dihadapan daripada apa yang kita pilih sebelum ini.

Mungkin takdir Allah menjadi ukuran. "Allah telah meletakkan takdir diriku sebegini".....inilah kata-kata pemujuk hati yang lara.....yang boleh meredakan rasa.....Bagi saya, Allah telah meletakkan takdirNya dimana-mana, sesuai dengan pilihan kita. Sebagai contoh jika kita memilih untuk berdiri diatas titi yang reput, takdirnya mungkin kita akan terjatuh ke dalam sungai, jika kita memilih untuk berdiri di atas titi yang kuat, takdirnya mungkin kita tidak akan terjatuh. Ini kerana secara umumnya sifat kereputan adalah rapuh dan sifat kekuatan adalah teguh. Dan kesifatan itu sendiri adalah TAKDIR!

Persoalan disini, bagaimana untuk kita mengetahui titi yang mana rapuh dan titi yang mana teguh? Bukankah kedua-duanya mempunyai takdirnya yang tersendiri? Akal manusia tidak mampu untuk menyangkal takdir dihadapan, tidak pula nampak takdir apa yang bakal terjadi seterusnya. Memang sukar mencari takdir yang terbaik sebagai pilihan dalam sesuatu tindakan kerana sifat manusia adalah lemah segalanya.

Allah yang maha bijaksana menganugerahkan akal dan gerak hati kepada manusia memilih jalan yang Dia telah ciptakan. Apa yang penting beristikharahlah kepada ALLAH....sebelum memulakan sesuatu. Dia yang awal dan Dia yang akhir. Dialah yang maha mengetahui segala-galanya. Merintihlah untuk meraih yang terbaik kerana Allah memberi ilham dan gerak hati sebagai isyarat halus untuk kita memilih jalan yang harus dipilih........Wallahualam.


   

No comments:

Post a Comment