Sunday 29 December 2013

Usahawan Enterprise vs Sdn. Bhd.

Saya ingin berkongsi pengalaman dengan ahli komuniti usahawan berkaitan dengan istilah atau perkataan yang mengelirukan banyak peniaga khususnya peniaga bumiputera, iaitu Enterprise dan Syarikat Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.).

Semasa saya menyampaikan satu talk berkaitan dengan pelesenan pada bulan June 2011, seorang peserta telah bertanya apa beza antara Enterprise dengan Sendiran Berhad. Yang mana lebih besar.
Sebenarnya, membandingkan Enterprise dengan Syarikat Sdn. Bhd. - yang mana lebih besar(?) ini tidak tepat kerana ia bukan perkara yang sama taraf untuk dibandingkan. Umpama membezakan antara 'burung kakak tua' dengan 'kakakku yang lebih tua' - yang mana lebih besar(?) Burung dibandingkan dengan orang, ini tidak tepat kerana kedua-duanya bukan sama taraf untuk dibandingkan.

Enterprise dan Syarikat Sdn. Bhd. adalah berbeza dari segi taraf perundangannya tetapi mempunyai fungsi yang sama iaitu sebagai keperluan awal sebelum menjalankan perniagaan. Kedua-dua struktur ini tidak boleh membandingkan yang mana besar dan yang mana kecil untuk diusahakan.

Enterprise adalah Kata Nama (Noun) yang bermaksud perusahaan. Perusahaan pula adalah kata terbitan daripada Kata Kerja (Verb) iaitu usaha. Kita tahu bahawa usaha bermaksud satu pekerjaan yang berkaitan dengan perniagaan, yang diusahakan untuk mendapatkan hasil atau laba. Ini bermakna seseorang boleh sahaja melakukan pekerjaan sebagai peruncit, atau pemborong, atau pekilang dan sebagainya sebagai salah satu perusahaan untuk mendapatkan hasil atau keuntungan. Setiap perusahaan yang harus perlu mengishtiharkan pendapatan mereka kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri melalui Penyata CukaiPendapatan tahunan. Dengan kata lain, perusahaan menggambarkan bidang pekerjaan yang diceburi dan ia tidak berkaitan dengan saiz besar atau kecil tetapi berkaitan dengan kepelbagaian; berapa banyak bidang perniagaan yang diceburi atau dilakukan (peruncit, pemborong dan pekilang itu tiga bidang pekerjaan atau tiga perusahaan yang dijalankan).

Syarikat Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.) pula adalah satu bentuk organisasi atau badan yang perlu ditadbir oleh beberapa orang berkepentingan. Setiap organisasi mempunyai atau mengamalkan gaya pentadbirannya tersendiri. Lazimnya, gaya pentadbiran yang diamalkan oleh sesebuah organisasi digambarkan dalam carta pentadbiran organisasi tersebut. Dalam Sdn. Bhd., ada beberapa kumpulan orang berkepentingan iaitu:-

1) Pemegang Saham Syarikat
Iaitu orang yang mempunyai kehakmilkan dalam syarikat. Mereka memegang kepentingan didalam syarikat dalam bentu saham atau juga dipanggil ekuiti. Pemegang Saham layak menerima dividen daripada keuntungan tahunan syarikat,

2) Ahli Lembaga Pengarah Syarikat
Merupakan sekumpulan orang yang dilantik oleh Pemegang Saham untuk bertindak sebagai pembentuk dasar atau pemandu arah syarikat. Kumpulan ini juga mempunyai kuasa yang boleh menetapkan hala tuju syarikat melalui Memorandum dan Artikel Syarikat yang ditandatangani dan dipersetujui bersama. Mereka layak menerima elaun yang mereka putuskan / tetapkan sendiri setelah mengambil kira kepentingan pemegang saham, pengurusan dan aset syarikat. Selain itu mereka akan menetapkan hal ehwal pengurusan dalaman syarikat dan kakitangan yang bekerja akan menerima gaji dan elaun-elaun yang diputuskan / ditetapkan oleh Lembaga pengarah melalui mesyuarat yang diminitkan.


3) Ahli Pengurusan Syarikat
Merupakan sekumpulan orang yang dilantik oleh Ahli Lembaga Pengarah untuk bekerja di syarikat bagi menguruskan dan mentadbir hal ehwal syarikat. Ahli Pengurusan Syarikat diberi tugas untuk memastikan setiap pendapatan dan perbelanjaan wang syarikat diuruskan dengan betul dan telus supaya operasi syarikat berjalan lancar dan sah di sisi undang-undang.

Sesebuah syarikat sendirian berhad boleh menceburi beberapa bidang perusahaan tertakluk kepada objek syarikat yang ditetapkan dalam perkara-perkara syarikat.

Kesimpulannya,

Enterprise => Perusahaan yang dijalankan / boleh diceburi oleh individu dan syarikat (Sdn. Bhd.) mengikut kawalan peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan perniagaan dan tertakluk kepada cukai pendapatan ;

Syarikat Sdn. Bhd. => Satu entiti atau badan atau organisasi yang ditubuhkan mengikut peruntukan undang-undang dan perlu ditadbir mengikut peruntukan Akta Syarikat 1965.

Enterprise => perlu dilesenkan di bawah beberapa undang-undang yang berkaitan dengan perniagaan, perdagangan, pekerjaan, cukai, eksport import dan sebagainya.

Syarikat Sdn. Bhd. => perlu didaftar dan ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965.

Mudah-mudahan, penerangan yang ringkas ini dapat memberi gambaran kepada bakal usahawan tentang perbezaan asas tentang istilah Enterprise dengan Syarikat Sendirian Berhad.

Semoga bermanafaat. Sekian.

No comments:

Post a Comment