Tuesday 9 February 2016

Only beauty..

Cantik dan indah je tajuk posting kali ini. Semua orang suka cantik. Cantik pada pandangan setiap manusia itu berbeza-beza penilaiannya. Ada yang melihat kecantikan itu dari sudut zahiriah manakala ada juga melihat kecantikan dari sudut batiniah. Pada pandangan saya kecantikan adalah sesuatu yang relatif dan abstrak malahan apa sahaja persepsi kecantikan yang digambarkan oleh seseorang itu, semuanya benar dan betul belaka pada hemat dirinya. Menyukai kecantikan dan keindahan adalah salah satu fitrah dan kecenderungan yang Allah S.W.T anugerahkan kepada umat manusia di muka bumi ini.


Sesuatu yang cantik fitrahnya adalah sesuatu yang enak dilihat, damai dan menenangkan. Setuju ke? Jika gambaran kecantikan adalah seperti itu, maka sudah tentu kecantikan fizikal bukanlah penilaian yang utama. Betul kan? Bukankah sesuatu yang enak, damai dan menenangkan itu adalah bersifat rohani? Benarkah wujudnya perasaan ini adalah terzahir dari sifat rasa yang tidak dapat dilihat dengan gambaran fizikal. Kecantikan dari dalam atau sering juga disebut sebagai inner beauty adalah keadaan dimana hati seseorang itu subur terpelihara dan jernih sentiasa. Mempunyai hati yang cantik bererti mempunyai hati yang menawan, mempesona dan memikat.

Thursday 28 January 2016

Mesejnya Hati

Agak lama tidak menulis, hari ini tiba-tiba hati teringat untuk menjengah di laman usang yang telah lama ku tinggalkan ini. Damai hati sangat terasa apabila membaca posting-posting sebelum ini. Tanpa berfikir jauh, terasa ringan sahaja jari jemariku ini membuai rentak menjentik abjad sambil menyusun bait-bait ayat di sini. Sekarang radio ikim sedang memainkan lagu 'Mihrab Cinta' nyanyian merdu Siti Nurhaliza. Irama kata lagu ini sangat indah memuji Sang Pencipta, Sang Pecinta... YaRahman..YaRahim..

Terpanggil diri untuk menulis disini tentang perihalnya hati. Sungguh hati merupakan pusat kepada jiwa raga manusia. Kata-kata ini menerpa diingatan iaitu "apabila hati seseorang itu baik, maka insyaallah akan baik pula seluruh jasad / tubuhnya, dan apabila hatinya buruk, maka insyaallah akan buruk pula seluruh jasad / tubuhnya". Pernah juga terbaca satu artikel yang memberi ungkapan kata-kata Imam Al-Ghazali mengenai hati iaitu “Hati adalah merupakan sesuatu yang paling berharga (bernilai) dalam diri manusia. Sebab dengan hati inilah, seseorang itu mampu mengenal Tuhannya (Allah SWT), Mampu beramal untuk mengharapkan redho-Nya serta juga mampu mendekatkan dirinya kepada Tuhannya (Allah SWT). Sedangkan jasad tersebut pada hakikatnya hanyalah semata-mata menjadi pelayan dan pengikut dari hati itu sendiri, sebagaimana seorang pelayan terhadap tuannya”. Begitu bernilainya sekeping hati yang Allah anugerahkan ini.