Thursday 28 January 2016

Mesejnya Hati

Agak lama tidak menulis, hari ini tiba-tiba hati teringat untuk menjengah di laman usang yang telah lama ku tinggalkan ini. Damai hati sangat terasa apabila membaca posting-posting sebelum ini. Tanpa berfikir jauh, terasa ringan sahaja jari jemariku ini membuai rentak menjentik abjad sambil menyusun bait-bait ayat di sini. Sekarang radio ikim sedang memainkan lagu 'Mihrab Cinta' nyanyian merdu Siti Nurhaliza. Irama kata lagu ini sangat indah memuji Sang Pencipta, Sang Pecinta... YaRahman..YaRahim..

Terpanggil diri untuk menulis disini tentang perihalnya hati. Sungguh hati merupakan pusat kepada jiwa raga manusia. Kata-kata ini menerpa diingatan iaitu "apabila hati seseorang itu baik, maka insyaallah akan baik pula seluruh jasad / tubuhnya, dan apabila hatinya buruk, maka insyaallah akan buruk pula seluruh jasad / tubuhnya". Pernah juga terbaca satu artikel yang memberi ungkapan kata-kata Imam Al-Ghazali mengenai hati iaitu “Hati adalah merupakan sesuatu yang paling berharga (bernilai) dalam diri manusia. Sebab dengan hati inilah, seseorang itu mampu mengenal Tuhannya (Allah SWT), Mampu beramal untuk mengharapkan redho-Nya serta juga mampu mendekatkan dirinya kepada Tuhannya (Allah SWT). Sedangkan jasad tersebut pada hakikatnya hanyalah semata-mata menjadi pelayan dan pengikut dari hati itu sendiri, sebagaimana seorang pelayan terhadap tuannya”. Begitu bernilainya sekeping hati yang Allah anugerahkan ini.

Manusia yang berusaha untuk menjadi baik sangat mendambakan sekeping hati yang lembut, bersih dan jernih kerana hati seperti ini akan dapat menyuburkan amal. Apabila bermuhasabah diri sendiri MasyaAllah...aku kian tersedar bahawa diriku ini masih jauh daripada terdidik untuk mencapai darjat hati di tahap pandangan ilahi. Betapa aku sangat leka dalam mendidik hati. Tersentap diri apabila terkenang dalam usahaku untuk membina cita, tamakan dunia datang menerpa... dalam usahaku untuk membaiki cinta, sisipan buruk sangka hadir menjelma...dalam usahaku meraih berkat, laluan hatiku kadangkala tersesat. Ahh...Itulah aku hamba yang sangat tidak sempurna ikhlas hatinya. Masih tiada keupayaan untuk mencapai Ehsan. Aku ingin memiliki hati yang berbahagia dan membahagiakan, berlapang dada, berjiwa besar dan pemaaf. Allah...anugerahkanlah aku hati itu. 

Tidak ada sesuatu yang menyenangkan dan membahagiakan seseorang, kecuali hidup dengan hati yang bersih dan jiwa yang sihat, bebas dari rasa kebingungan dan bebas dari rasa dendam serta iri. Hati yang bersih dan jiwa yang sihat akan tercapai bilamana apabila kita melihat sesuatu nikmat yang diperolehi oleh orang lain, kita merasa senang dan merasakan kurniaan itu akan ada pula kepada kita suatu ketika nanti. Dan apabila kita melihat musibah yang menimpa seseorang hamba Allah, kita turut merasa simpati dan mengharapkan kepada Allah untuk meringankan penderitaan dan mengampuni dosanya. Allah yang maha pengampun, maha mengasihani, ketuklah jiwa kami agar tidak terleka dengan kemusnahan hati. Suburkan keimanan dalam diri kami dan bertautlah kami dalam ukhwah kasih sayang.

Mudah-mudahan Allah SWT yang maha Menatap, Allah Yang Maha Mendengar, Allah Yang Maha Pemberi, mengaruniakan kepada kita Qolbun Salim, hati yang bersih, hati yang jernih, hati yang lurus, dan hati yang lapang. Aamiin Ya Robbal’Alamiin !

#mesejnya hati



No comments:

Post a Comment