Tuesday 9 February 2016

Only beauty..

Cantik dan indah je tajuk posting kali ini. Semua orang suka cantik. Cantik pada pandangan setiap manusia itu berbeza-beza penilaiannya. Ada yang melihat kecantikan itu dari sudut zahiriah manakala ada juga melihat kecantikan dari sudut batiniah. Pada pandangan saya kecantikan adalah sesuatu yang relatif dan abstrak malahan apa sahaja persepsi kecantikan yang digambarkan oleh seseorang itu, semuanya benar dan betul belaka pada hemat dirinya. Menyukai kecantikan dan keindahan adalah salah satu fitrah dan kecenderungan yang Allah S.W.T anugerahkan kepada umat manusia di muka bumi ini.


Sesuatu yang cantik fitrahnya adalah sesuatu yang enak dilihat, damai dan menenangkan. Setuju ke? Jika gambaran kecantikan adalah seperti itu, maka sudah tentu kecantikan fizikal bukanlah penilaian yang utama. Betul kan? Bukankah sesuatu yang enak, damai dan menenangkan itu adalah bersifat rohani? Benarkah wujudnya perasaan ini adalah terzahir dari sifat rasa yang tidak dapat dilihat dengan gambaran fizikal. Kecantikan dari dalam atau sering juga disebut sebagai inner beauty adalah keadaan dimana hati seseorang itu subur terpelihara dan jernih sentiasa. Mempunyai hati yang cantik bererti mempunyai hati yang menawan, mempesona dan memikat.


Kecantikan dan keindahan kadangkala dipandang sinonim kepada wanita sahaja. Padahal setiap manusia samada lelaki atau wanita mempunyai sifat kecantikannya yang tersendiri yang boleh dipanculkan melalui kerohanian masing-masing. Kecantikan yang muncul keluar dari dalam diri seseorang itu sebenarnya adalah pancaran nur dari hati seseorang. Bagaimanakah inner beauty itu muncul? 

Kecantikan dalaman berkaitan rapat dengan sistem kepercayaan diri dan peribadi yang terbina melalui fikiran bawah sedar seseorang. Seandainya kehidupan kita terisi dengan memori yang indah atau hal-hal yang cantik ke dalam fikiran bawah sedar kita, maka semua itu akan muncul ke permukaan wajah yang menjadi berseri dan bercahaya. Teknik ringkas yang saya pernah pelajari suatu ketika dulu, iaitu bagaimana memasukkan memori cantik dan indah ke fikiran bawah sedar adalah dilakukan dengan menyerap kecantikan dan keindahan dari alam melalui kaedah pernafasan. 

Sehingga ke hari ini, saya masih belum melakukannya dengan konsisten. Walaubagaimanapun saya berkongsi apa yang diajarkan supaya kita sama-sama beroleh kecantikan sebenar yang diimpikan. Caranya dengan memejamkan mata anda, kemudian perlahan tarik nafas panjang dan lepaskan. Lalu katakan kalimat ini didalam hati:

“Saya niatkan dan saya izinkan semua keindahan dan kecantikan alam ini menular ke dalam diri saya, masuk meresap ke sel-sel terkecil dalam diri saya…”

Sambil anda rasakan, sentuhan angin menyapa wajah dan tubuh anda lalu anda membayangkan ketenangan dan kedamaian alam masuk ke dalam diri sehingga meresap ke dalam hati anda. Sambil itu biarkan wajah anda dalam keadaan relax dan lembut. Nampakkan dalam minda, wajah anda mulai bersinar dan menenangkan. Nikmati proses ini sejenak, agar semua sel didalam diri anda terbuka untuk menerima kecantikan dan keindahan dari alam sekeliling.

Tahniah saya ucapkan kerana anda sedang berusaha. Lakukan teknik ini dengan konsisten. Luangkan waktu sekurang-kurangnya 2 minggu sekali untuk melakukan perkara ini sehingga anda dapat merasakan kecantikan sejati  muncul dari dalam diri anda dan membawa pengaruh besar terhadap lingkungan kehidupan dan persekitaran anda.

Salam keindahan dari saya!

No comments:

Post a Comment