Thursday 28 January 2016

Mesejnya Hati

Agak lama tidak menulis, hari ini tiba-tiba hati teringat untuk menjengah di laman usang yang telah lama ku tinggalkan ini. Damai hati sangat terasa apabila membaca posting-posting sebelum ini. Tanpa berfikir jauh, terasa ringan sahaja jari jemariku ini membuai rentak menjentik abjad sambil menyusun bait-bait ayat di sini. Sekarang radio ikim sedang memainkan lagu 'Mihrab Cinta' nyanyian merdu Siti Nurhaliza. Irama kata lagu ini sangat indah memuji Sang Pencipta, Sang Pecinta... YaRahman..YaRahim..

Terpanggil diri untuk menulis disini tentang perihalnya hati. Sungguh hati merupakan pusat kepada jiwa raga manusia. Kata-kata ini menerpa diingatan iaitu "apabila hati seseorang itu baik, maka insyaallah akan baik pula seluruh jasad / tubuhnya, dan apabila hatinya buruk, maka insyaallah akan buruk pula seluruh jasad / tubuhnya". Pernah juga terbaca satu artikel yang memberi ungkapan kata-kata Imam Al-Ghazali mengenai hati iaitu “Hati adalah merupakan sesuatu yang paling berharga (bernilai) dalam diri manusia. Sebab dengan hati inilah, seseorang itu mampu mengenal Tuhannya (Allah SWT), Mampu beramal untuk mengharapkan redho-Nya serta juga mampu mendekatkan dirinya kepada Tuhannya (Allah SWT). Sedangkan jasad tersebut pada hakikatnya hanyalah semata-mata menjadi pelayan dan pengikut dari hati itu sendiri, sebagaimana seorang pelayan terhadap tuannya”. Begitu bernilainya sekeping hati yang Allah anugerahkan ini.