![]() |
Apa yang aku fahami daripada kata bicara Ustaz Pahrol memang jelas. Cinta bukan sebuah perkataan hiasan dibibir semata tetapi cinta adalah perasaan mendalam yang wujud dalam tindakan atau perbuatan. Menurut kata Ustaz Pahrol, ada dua kategori cinta sempurna yang perlu kita selami iaitu cinta kepada Allah dan cinta kepada manusia. Kita menuju kesempurnaan untuk Cinta kepada Allah apabila kita mentaati segala suruhanNya. Zahirkanlah Cinta itu dengan bersujud, bersyukur, bersalawat, bersedekah dan bertaubat. Manakala Cinta kepada manusia wujud apabila kita berakhlak sesama kita, berkasih sayang sesama makhluk, berbaik sangka diantara kita. Cinta manusia dizahirkan dengan berdoa untuk kebaikan diantara satu dengan lain, bermaaf-maafan walaupun dengan musuh, memberi dan merasa, emphati dan sebagainya.
Aku mempelajari sesuatu daripada bingkisan yang Ustaz Pahrol sampaikan itu. Bagiku, menuju kesempurnaan Cinta memerlukan mujahadah yang berterusan. Apa yang ku tuliskan disini adalah mujahadahku sebagai hamba untuk menuju kesempurnaan bercinta di bumi Allah ini. Kecintaanku kepada Allah dan kecintaanku kepada manusia lain masih belum sempurna. Untuk menuju Cinta sempurna, perlu diadunkan ke dalam diri segala kesempurnaan yang ada kepada Nabi Muhamad S.A.W. Diri perlu disemaikan sifat berlembut hati, berhemah, sabar, berbaik sangka, tenang, bersenyum dan sentiasa memberi.
Sesungguhnya Allah itu Maha Pencinta, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Sifat Allah yang maha agung tercipta di dalam diri setiap manusia. Sayangi diri sendiri demi untuk menyayangi orang lain dan cintai Allah untuk mencintai diri dan manusia lain.Wallahualam.
No comments:
Post a Comment